KUALA LUMPUR 31 Mei – Sebuah makmal memproses dadah yang terletak di kawasan Perusahaan Bukit Angkat, Kajang akhirnya terbongkar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket antarabangsa dalam beberapa siri serbuan di dua lokasi.
Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman pada 28 sehingga 29 Mei lalu itu turut menahan 10 lelaki.
Pemangku Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, turut dirampas iaitu dadah jenis Syabu dan Erimin 5 bernilai RM17.53 juta hasil dua serbuan itu.
Ujarnya, dalam serbuan pertama pada 28 Mei lalu, pihaknya telah melakukan enam serbuan di sekitar Cheras kira-kira pukul 5.30 petang sebelum menahan tujuh lelaki.
“Turut dirampas iaitu 20 bungkusan dadah disyaki Syabu seberat 20.7 kilogram bernilai RM1.04 juta.
“Dalam serbuan kedua pada keesokannya, pihak kita telah melancarkan tiga serbuan di Lembah Klang kira-kira pukul 5.20 petang dan menahan tiga lelaki selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM16.49 juta di dalam sebuah makmal yang terletak di kawasan premis perindustrian,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi makmal dadah yang diserbu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamarulzaman memberitahu, sindiket terbabit dikesan menggunakan alat penapis udara bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu “Makmal ini dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu dengan menggunakan mesin yang diseludup dari negara luar.
“Siasatan lanjut masih berjalan dan kesemua suspek berusia 28 tahun sehingga 69 tahun itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952. Hasil semakan beberapa diantara mereka mempunyai rekod lampau,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











