LONDON 31 Mei – Pengerusi Liverpool, Tom Werner berkata Jurgen Klopp boleh tinggal di Anfield selama mana yang dia suka dan memberi bayangan bahawa kelab tersebut bersedia untuk menawarkan kontrak baharu kepada jurulatih The Reds itu.
Jurulatih dari Jerman itu membimbing The Reds layak ke final Liga Juara-Juara dua kali berturut-turut selain memaksa Manchester City bekerja keras dalam mempertahankan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.
Klopp disukai oleh separuh daripada Merseyside dan sentimen itu turut berlaku dalam kalangan ahli lembaga pengarah.
“Kami tidak mahu berbincang mengenai situasi dia secara umum, terutamanya ketika final semakin hampir.
“Bagaimanapun, saya fikit awak tahu apa yang kami fikirkan mengenainya. Kami pernah melanjutkan kontraknya sekali.
“Apa yang saya boleh katakan adalah dia boleh tinggal di sini selama mana yang dia suka. Kami percaya dia komited dengan Liverpool,” kata Werner.
Bagaimanapun, sehingga kini Klopp masih gagal membawa pulang trofi bersama Liverpool.
The Reds akan menentang Tottenham dalam final Liga Juara-Juara di Madrid, esok. – AGENSI











