BENTONG 31 Mei – Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack menafikan laporan sebuah portal berita yang menyatakan beliau membuat pusingan U dengan menyokong bulat-bulat operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, Kuantan untuk terus beroperasi di negara ini.
Beliau yang mengetuai jawatankuasa bagi mengkaji semula projek Lynas menegaskan tetap dengan pendiriannya bahawa operasi kilang hanya boleh diteruskan dengan syarat ia mengikut ketetapan dan mengikut prosedur ditetapkan.
Malah katanya, laporan berita mengenai persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara selama hampir satu jam di Jepun berkenaan juga dilihat tidak dilaporkan media secara menyeluruh sehingga disalah tafsir.
“Saya lihat wawancara ini dan ia tidak dilaporkan menyeluruh yang mana Dr. Mahathir kata perbincangan masih diteruskan selain menyentuh mengenai syarat yang perlu dipatuhi.
“Sebelum ini pun Dr. Mahathir memberikan dua syarat utama iaitu sisa buangan hendaklah dipulangkan dan bahan mentah yang diproses tidak boleh ada radioaktif,” katanya di sini hari ini.
Semasa dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, Jepun semalam, Dr. Mahathir dilaporkan mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi di negara itu.
Pengumuman Perdana Menteri tersebut menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara. – UTUSAN ONLINE











