Jangan lupa isu sisa buangan Lynas - Fuziah - Utusan Malaysia

Jangan lupa isu sisa buangan Lynas – Fuziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 31 Mei – Rakyat tidak seharusnya melupakan isu sisa buangan radioaktif dari Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng dekat sini walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, setakat ini belum ada jalan penyelesaian terhadap perkara berkenaan yang merupakan isu sentral dalam keputusan perlesenan dan pengoperasian kilang Lynas pada masa depan.

Katanya, beliau berpegang teguh kepada kenyataan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang meletakkan syarat penghantaran pulang sisa radioaktif dari kilang Lynas kembali ke negara asal, Australia sebagai prasyarat penyambungan lesen pengoperasiannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga difahamkan bahawa beliau akan ke Australia pertengahan bulan depan untuk berunding tentang mengembalikan sisa buangan radioaktif dari kilang Lynas ini.

“Pandangan saya rakyat Malaysia harus memberi ruang kepada beliau mencari jalan merealisasikan syarat tersebut di samping rakyat terus memberi tekanan kepada Lynas untuk bertanggungjawab terhadap sisa radioaktif mereka tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semasa dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, Jepun semalam, Dr. Mahathir dilaporkan mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi di negara itu.

Pengumuman Perdana Menteri tersebut menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

Menurut Fuziah, Lynas harus menunjukkan kesungguhan dan wajib mengotakan janji bertulis mereka kepada kerajaan pada 2012 untuk mengembalikan sisa radioaktif dari kilang Lynas ke Australia.

“Rakyat Malaysia pula tidak boleh menutup mata ke atas kesalahan Lynas tidak mengotakan janji ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini