Minggu hadapan warga kota akan pulang ke kampung masing-masing menyambut Aidilfitri. Hampir seminggu mungkin kita akan melihat Kuala Lumpur yang ‘tenang’ tanpa kesesakan di sana sini.
Bagi penduduk di kota metropolitan ini, sebenarnya ramai mengimpikan untuk melihat jalan-jalan raya yang tidak berselirat dengan kenderaan, bunyi hon atau sesekali deruman lori dan motor merempit di tengah malam buta.
Diakui keadaan itu sukar sekali. Berangan seolah-olah memandu dengan pemandangan sawah padi atau dihiasi Mount Cook, jangan mimpilah! Bangun dan hadapi realiti.
Apatah lagi ketika ini banyak pembangunan sedang dibuat di segenap sudut bandar ini. Bagi projek MRT2, ketika ini begitu gah sekali tiang-tiang konkrit merentasi jalan-jalan yang dahulunya kurang sesak tetapi bertambah sesak, antaranya melalui Bandar Tasik Selatan, Pekan Sungai Besi, Seri Kembangan, Taman Equine dan jalan sekitar Salak Selatan.
Ini belum masuk blok-blok berwarna merah putih yang diletakkan di tepi-tepi jalan, sangatlah menyesakkan pemandangan. Ada juga tiang-tiang konkrit ini berhadapan dengan tingkap hadapan rumah kondominium. Apa agaknya perasaan penghuni di situ, tertanya-tanya juga.
Di tengah-tengah bandar raya ini pula, projek Tun Razak Exchange sedang berjalan. Begitu juga di bahagian parkir masuk ke KLCC (berhadapan bangunan Menara Felda) juga sedang rancak dibangunkan. Bangunan pencakar langit PNB118 di kawasan sekitar Dataran Merdeka juga sedang rancak.
Begitu juga dengan projek perumahan kediaman bertingkat yang dibangunkan ‘tanpa henti’ di mana-mana sahaja sekarang termasuk Putrajaya dengan harga ‘mampu tengok.’
Selalu yang menimbulkan pertanyaan, adakah semua pembangunan ini sebenarnya dibuat secara terancang? Adakah kita sebenarnya mempunyai garis panduan pengurusan pembinaan tertentu antaranya mengkaji demografi dan keperluan penduduk di kawasan-kawasan tertentu.
Beberapa analisis pasaran hartanah menunjukkan pembinaan kediaman berhampiran pengangkutan awam akan menaikkan nilai hartanah di kawasan tersebut.
Namun, kemungkinan itu berlaku sebaliknya juga ada. Pertamanya, ya hartanah naik melambung dan pemiliknya kaya raya, atau keduanya, ia boleh meruntuhkan sistem ekonomi di kawasan tersebut terutama bagi kawasan yang dikenal pasti mempunyai kadar jenayah tinggi.
Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia melaporkan sebanyak 58 kes samun dan kecurian dilaporkan berlaku di 21 stesen MRT di seluruh Selangor dari Januari hingga 15 Mei lalu.
Tidak lama lagi juga, pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula dengan meredah negeri-negeri di Pantai Timur yang kita ketahui kehijauannya masih terpelihara. Ini kemudiannya akan diikuti dengan projek Bandar Malaysia, sekali lagi di laluan kota raya Kuala Lumpur.
Sejauh mana aktiviti pembangunan dan penerokaan tanah ini dapat menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk setempat?
Kita hendak membuang sampah dalam tong sampah pun masih tidak betul sehingga ke hari ini, apatah lagi melibatkan isu alam sekitar yang lebih besar.
Ini bukan soal anti pembangunan, tetapi biarlah ia lebih bertimbang rasa.
Projek pembangunan komersial mega dalam perancangan di Kuala Lumpur
Semarak 2.0
l Dijangka siap 2019
Bukit Jalil City
l Dijangka siap 2019
l Pusat beli-belah, pangsapuri, ruang niaga dan kedai pejabat
Tun Razak Exchange
l Fasa 1 (The Exchange 106 dan Menara Prudential) siap 2019
l Fasa 2 (Exchange Mall, HSBC Malaysia dan Bank Affin) siap 2020
Pavilion Damansara Heights
l Pembangunan bercampur 12 fasa (pusat beli-belah, pangsapuri dan menara pejabat binaan khas)
Millerz Square, Jalan Klang Lama
l Pembangunan bercampur lima fasa (residensi khidmat, pejabat binaan khas dan ruang niaga)
l Dijangka siap 2019
3rd Avenue, Jalan Ampang
l Pembangunan bercampur empat fasa (office suites, kediaman dan ruang niaga)
Pembangunan infrastruktur pengangkutan
l MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya
l Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Duta-Ulu Kelang
Fasa 3 dijangka siap 2020
l Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dijangka siap 2019
(Sumber : Laporan Pasaran Harta 2018 Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta)











