PATAMI TM RM308.3 juta - Utusan Malaysia

PATAMI TM RM308.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mei – Tele­kom Malaysia Bhd. (TM) mencatatkan peningkatan 96.2 peratus dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) daripada RM157.1 juta pada suku pertama 2018 kepada RM308.3 juta suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2019.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ke­tua Pegawai Operasi TM, Imri Mokhtar berkata, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM2.78 bilion, 2.4 peratus lebih rendah tahun-ke-tahun disebabkan penurunan hasil perkhidmatan suara, Internet dan multimedia serta perkhid­matan-perkhidmatan tidak berkaitan telekomunikasi.

Beliau berkata, perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan dicatatkan pada RM504.8 juta, mening­kat daripada RM195.6 juta pada suku pertama tahun sebe­lumnya disebabkan terutamanya oleh pengurangan kos-kos operasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, tidak termasuk perkara-perkara bukan operasi, seperti kerugian belum nya­ta ke atas tukaran wang asing bagi penyelesaian urus niaga antarabangsa, EBIT dinormali­sasi kumpulan juga meningkat kepada RM513.0 juta daripada RM206.6 juta tahun lalu.

“Seperti dijangka, caba­ran-cabaran hasil terus wujud pada suku pertama tahun ini, de­ngan persaingan yang kian sengit dan kesan terhadap harga. Bagaimanapun, sukaci­ta saya melaporkan bahawa Program Peningkatan Prestasi 2019-2021 (PIP2019-2021) kami mula menampakkan hasil.

“Kami mencatatkan kecekapan operasi yang lebih baik dan kadar keberuntungan yang lebih tinggi. Perbelanjaan operasi (Opex) dan hasil kami juga meningkat sebanyak 11.4 mata peratusan, sementara keuntungan bagi suku tahun ini juga berganda, disebabkan oleh terutamanya usaha-usaha peng­optimuman kos yang dilaksanakan bagi mengekang penurunan hasil.

“Kami menjangkakan indus­tri dan landskap yang kompetitif akan terus berevolusi. Kami kekal fokus untuk membawakan strategi-strategi kami iaitu memacu konvergens dan memperkasakan digital bagi merealisasikan Malaysia Digital sambil memperkukuhkan daya tahan dengan inisiatif-inisiatif PIP kami dan memperbaiki pengalaman pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu mengulas mengenai unifi, beliau berkata, TM kini memiliki 2.19 juta pe­langgan jalur lebar yang terdiri daripada 1.32 juta pelanggan unifi dan 871k pelanggan Streamyx.

Katanya, sebanyak 973,000 pelanggan unifi telah dinaik taraf kepada 10 kali kepantasan sedia ada, 266,000 pelanggan Streamyx di kawasan liputan unifi telah dinaiktaraf kepada unifi dan 226,000 pelanggan Streamyx di luar kawasan liputan unifi dinaiktaraf kepada dua kali ganda kepantasan sedia ada, di mana tiada hala­ngan teknologi.

“Pasaran kini semakin kompetitif, dengan syarikat-syarikat lain terus meneroka peluang untuk mengekal dan mengembangkan perniagaan masing-masing. Bagi bulan-bulan berikutnya, kami akan terus memfokus kepada teras strategik kami iaitu ‘Perkhidmatan Bersepadu’, ‘Mudah dan Digital’ dan ‘Kos Lebih Rendah dan Efisien’ dalam operasi harian kami bagi memacu prestasi dan mencipta lebih nilai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini