Rumah terbakar, persiapan raya lima sekeluarga musnah - Utusan Malaysia

Rumah terbakar, persiapan raya lima sekeluarga musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 31 Mei – Lima sekeluarga berputih mata apabila semua persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri musnah dalam kebakaran di Flat Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Chendering di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu berlaku ketika semua ahli keluarga Mohd. Khaizuwan Oslan Affendi, 30, tiada di rumah.

Lebih menyedihkan, isterinya, Tuan Norlida Tuan Ariffin, 27, yang terkejut dengan kejadian menimpa mereka sekeluarga turut pengsan lalu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk menerima rawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohd. Khaizuwan berkata, sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu dia bergegas pulang ke rumah sewanya namun segalanya hangus dijilat api termasuk persiapan raya yang dibuat sejak seminggu lalu.

“Saya berada di tempat kerja tiba-tiba ada orang telefon kata rumah terbakar dan apabila sampai saya tengok habis tiada satu benda pun,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya dengan kekuatan 24 orang bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kira-kira pukul 9.49 malam.

Katanya, setibanya di lokasi didapati 45 peratus kediaman berkenaan telah terbakar dan mengambil masa enam minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan.

“Kebakaran ini dapat dikawal oleh beberapa orang Pasukan Tindakan Kecemasan ( ERT) istana yang tinggal di rumah flat berhampiran, ini merupakan satu kebaikan kerana ada orang yang boleh beri bantuan di peringkat awal sebelum bomba sampai,” katanya.

Menurut Rozizah, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini