TEMERLOH 31 Mei – Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membenarkan kilang memproses nadir bumi Australia, Lynas Corp. yang bertapak di negeri ini untuk terus beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, keputusan itu jelas membuktikan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membenarkan pembukaan kilang berkenaan adalah tepat kerana memberi kesan positif kepada negara dan rakyat.
“Ini jelas menunjukkan bahawa isu Lynas yang dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini khususnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) merupakan gambaran salah untuk menipu rakyat bagi memenangi pilihan raya.
“Bila mereka menang kini terbukti apa mereka katakan sebelum ini adalah salah, keputusan yang dilakukan Perdana Menteri bukan suka-suka tetapi berdasarkan fakta,” katanya di sini hari ini.
Semasa dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, Jepun semalam, Dr. Mahathir dilaporkan mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi di negara itu.
Pengumuman Perdana Menteri tersebut menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara. – UTUSAN ONLINE











