KUALA LUMPUR – Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) telah memperuntukkan sebanyak RM110 juta pada tahun 2019 untuk tujuan pembiayaan usahawan francais di negara ini, berlandaskan kepada Pelan Perniagaan Lima Tahun 2019-2023,.
Pengerusi PNS, Datuk Dzulkifli Fadzilah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM35 juta dikhususkan untuk pembangunan francais.
“Sementara bakinya, iaitu sebanyak RM65 juta pula adalah untuk pembangunan keusahawanan perusahaan sederhana dan selebihnya sebanyak RM10 juta adalah untuk peruntukan ruang runcit.
“Melalui bajet tersebut, PNS akan membeli ruang-ruang niaga untuk disewakan kepada usahawan francais bumiputera.
“Kami jangkakan peruntukan pembiayaan itu akan bertambah pada tahun depan dan seterusnya bagi menggalakkan aktiviti perniagaan yang dapat memenuhi keperluan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat program PNS Care Ar-Rahman Karnival Jimat Belanja yang berlangsung di Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi di sini baru-baru ini.
Dzulkifli menjelaskan, penganjuran karnival tersebut adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding biasa.
“Sudah menjadi tanggungjawab PNS untuk mengadakan program seperti ini untuk menggalakkan usahawan menjalankan aktiviti perniagaan mereka.
“Dalam masa sama, kami menggalakkan usahawan menyumbang kembali kepada para komuniti,” ujarnya.











