KUALA LUMPUR – Absolut Brands Sdn. Bhd. (Absolut Brands) syarikat bumiputera yang terlibat dalam sektor makanan dan minuman, mengunjurkan perolehan jualannya bertambah sekali ganda pada tahun ini berbanding RM1.5 juta yang dicatat tahun 2018.
Pengasas Bersama, Ben Ali berkata, pertambahan nilai statistik tersebut disumbangkan daripada usaha syarikat untuk meluaskan rangkaian pengedaran kek popularnya, Absolut Chocolat di 100 lagi stesen minyak utama di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Buat masa ini, kek tersebut telah dijual di 100 buah stesen minyak utama dengan melibatkan jualan antara 600 hingga 800 unit kek sehari dengan harga jualan antara RM10 hingga RM12 seunit.
“Segmen jualan daripada syarikat minyak utama merupakan penyumbang utama kepada perolehan syarikat yang mana ketika ini ia mewakili lebih daripada 50 peratus manakala bakinya daripada jualan melalui ejen dan tempahan daripada pelanggan.
“Kami optimis nilai sumbangan daripada segmen jualan daripada syarikat minyak utama akan bertambah lagi antara 20 hingga 30 peratus ekoran kejayaan kami menembusi 100 lagi outlet pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi pengenalan syarikat bersama produk kek jualannya di sini baru-baru ini.
Turut hadir pengasas syarikat, Nadiyah Shahab.
Baru-baru ini, syarikat berjaya mencatat jualan sehingga 13,000 unit kek melalui penceburannya di festival Mode Republik yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Mei lalu bertempat di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Jalan Duta di sini.
Selain itu, Ben menjelaskan, syarikat bakal meluaskan rangkaian pengedarannya ke kawasan Utara, Selatan dan Pantai Timur melalui inisiatifnya untuk membuka tiga buah dapur berpusat di tiga zon berkenaan bagi memudahkan urusan penghantaran kek yang lebih segar kepada pelanggan.
Ketika ini, syarikat lebih memberi tumpuan kepada pasaran di Lembah Klang dengan pengeluaran dibuat melalui dapur berpusatnya di Cheras di sini.
Selain itu, syarikat juga bakal melabur antara RM300,000 hingga RM500,000 untuk sebuah dapur berpusat itu bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasinya dan ia bakal dibuka secara berperingkat-peringkat bermula suku ketiga tahun ini.
Dalam masa sama, Absolut Brands akan menaik taraf dapur berpusatnya yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur menjelang separuh kedua tahun ini.











