KETUA jurulatih skuad bawah 19 (B-19) negara, Bojan Hodak mengakui tidak makan hati dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya yang bakal berakhir pada 31 Julai depan.
Kata Bojan, keputusan itu diterima dengan tangan terbuka selain mengucapkan selamat maju jaya kepada pengendali baharu yang bakal dilantik oleh FAM agar dapat mempamerkan aksi yang membanggakan bersama barisan pemain skuad B-19.
“Saya akui telah menerima makluman daripada FAM menerusi e-mel bahawa kontrak saya yang berakhir pada Julai depan tidak akan disambung. Saya menerima keputusan tersebut dengan terbuka dan mengucapkan selamat maju jaya dengan pasukan B-19.
“Saya tidak pasti jurulatih mana yang akan dilantik sebagai pengendali baharu skuad B-19 tetapi siapa sahaja yang dipilih, dia memiliki barisan pemain yang bagus dan boleh dibentuk untuk melangkah lebih jauh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, skuad B-19 negara bakal mengharungi dua kejohanan penting pada tahun ini iaitu Kejuaraan AFF B-19 di Vietnam pada Ogos dan kelayakan Kejuaraan AFC B-19 2020 di Kemboja dua bulan kemudian.
Mengulas lanjut, Hodak mengakui banyak pengalaman manis yang diraih sepanjang dua tahun dilantik menjadi ketua jurulatih skuad B-19 antaranya adalah membantu Malaysia meraih kejuaraan AFF B-19 buat pertama kali di Indonesia pada 2018.
“Saya sangat bertuah apabila berpeluang untuk melatih pemain yang cukup berkualiti sehingga berjaya menjuarai kejuaraan AFF B-19 buat kali pertama tahun lalu. Ia adalah pengalaman yang menarik.
“Saya akan kembali ke Croatia untuk mengikuti kursus Lesen Pro Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA),” kata bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) itu lagi.
Sebelum ini, Hodak telah mencetuskan kontroversi apabila mengkritik sistem pembangunan bola sepak negara selepas pasukannya gagal mencapai keputusan yang memberangsangkan pada kejohanan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun Mac lalu.











