MELBOURNE – Remaja lelaki yang memecahkan telur di atas kepala Senator Australia, Fraser Anning, Will Connolly, 17, atau Budak Telur hari ini mendermakan sejumlah hamper AUD100,000 (RM291,582) kepada mangsa serangan dua buah masjid di Christchurch, New Zealand Mac lalu.
Perkara tersebut didedahkan Connolly melalui hantaran di laman Instagram miliknya yang dimuat naik semalam.
Menurutnya, sumbangan tersebut akan diberikan ke dua buah badan kebajikan di Christchurch untuk disalurkan kepada mangsa yang terselamat daripada serangan tersebut.
“Akhirnya, selepas mengumpul jumlah wang yang banyak, AUD99,922.36 telah dipindahkan ke Christchurch Foundation dan Victims Support.
“Saya mengambil keputusan untuk mendermakan semua yang dikumpul untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa serangan ganas tersebut, ia bukan milik saya untuk disimpan,” katanya.
Wang tersebut dikumpul melalui dua dana Go Fund Me yang diwujudkan untuk menampung kos guaman Connolly namun, pihak polis membuat keputusan untuk tidak mendakwanya. – K! ONLINE











