JOHOR BAHRU 28 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) hari ini menerima lima aset baharu berupa bot amfibia yang akan ditempatkan di beberapa kawasan seluruh negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, penambahan aset baharu itu melengkapkan keupayaan pihak berkuasa terbabit.
Menurut beliau, kini PPM memiliki enam buah bot amfibia setelah unit pertama diterima pada tahun 2017.
“Keunikan aset ini adalah ia merupakan kenderaan dua alam yang mampu beroperasi di jalan darat dan jalan laut.
“Aset ini masing-masing akan ditempatkan di Tampoi dan Pengerang di Johor; Kuantan Pahang; Pengkalan Kubor, Kelantan; Batu Uban, Pulau Pinang dan Kampung Acheh, Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Markas PPM Wilayah Dua, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











