"Kami amat terasa kehilangan Hafiiz" - Utusan Malaysia

“Kami amat terasa kehilangan Hafiiz”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 27 Mei – “Hafiiz anak yang baik, kami sangat terasa kehilangannya sebab semua dia buat di rumah ini”.

Demikian luahan ibu-bapa kepada Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29, yang maut bersama isterinya, Siti Nur Shahila Asla, 26, dalam kemalangan berhampiran Kampung Pakoh Jaya di sini kelmarin masih terkesan dengan pemergian anak bongsu mereka.

Esah Abas, 66, berkata, banyak kenangan bersama Hafiiz Mohd. yang mesra dipanggil adik itu memandangkan mereka tinggal bersama di rumah yang terletak di Taman Seri Kenanga, Mengabang Telipot di sini manakala lima anak lain menetap di kediaman masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut pesara guru ini, anak bongsunya itu juga bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka berdua termasuk membawa suaminya, Ibrahim Hashim, 66, membuat pemeriksaan berkala penyakit kencing manis di hospital di samping menguruskan hal lain di rumah.

“Hubungan kami memang rapat memandangkan dia duduk sini sebab anak-anak lain jauh, jadi kita berharap pada dialah,” katanya yang masih sebak ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Terdahulu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu diwakili Pengarahnya, Farihah Che Husin menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada Esah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, Hafiiz Mohd. bersama Siti Nur Shahila yang hamil lima bulan merupakan antara empat yang maut selepas kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka bertembung dengan kereta jenis Peugeot di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu.

Menurut Esah, Hafiiz Mohd. sempat membelikan pakaian raya berupa jubah buatnya manakala suaminya, kemeja yang masing-masing berwarna merah hati pada minggu lalu sebelum pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

“Dia (Hafiiz Mohd.) jenis yang tidak memilih makanan dan biasanya saya akan masak nasi dagang pada hari raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini