Polis terima lima laporan kes curi rim, tayar di Putrajaya - Utusan Malaysia

Polis terima lima laporan kes curi rim, tayar di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Polis Putrajaya menerima lima laporan berkenaan kes kecurian rim dan tayar kereta di kawasan kejiranan di pusat pentadbiran kerajaan sepanjang bulan ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kes-kes kecurian peralatan kereta itu berlaku di kawasan apartmen di Presint 9, 11 dan 14.

“Pihak polis sedang berusaha mengumpul maklumat untuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut di kawasan kejiranan di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, setakat ini, pihak polis masih belum dapat mengenal pasti suspek yang terlibat dan semua laporan yang diterima masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Terdahulu, kejadian kecurian rim dan tayar kereta yang berlaku di sini tular di media sosial Twitter dan Facebook.

Melalui komen dan hantaran daripada netizen, rata-ratanya kesal dengan kejadian tersebut ekoran kes itu berlaku pada bulan Ramadan.

Dalam tular tersebut, ada netizen yang mengatakan bahawa penjenayah yang terlibat menyasarkan rim dan tayar kereta jenis Perodua Myvi, Aruz, Honda City, Honda CRV dan Honda Jazz.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Rosly berkata, beliau menasihatkan penduduk di sekitar Putrajaya agar meletakkan kereta di tempat yang terang dan elakkan memakir kenderaan mereka di kawasan yang terpencil. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini