KULAI – Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma bagaikan tiada erti bagi sebuah keluarga apabila rumah yang didiami ibu bapa mereka hangus dijilat api dalam kejadian di Jalan Enggang dekat Felda Taib Andak di sini hari ini.
Menurut Nur Laili Hassan, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari ketika ibu bapanya yang berusia 70-an, anak saudara serta dua anaknya masing-masing berusia setahun dan enam bulan berada di rumah terbabit.
“Ketika kejadian, saya sedang bekerja sebelum menerima panggilan daripada ahli keluarga berhubung kejadian terbabit.
“Saya bersyukur kerana mereka (ahli keluarga) sempat keluar dan menyelamatkan diri. Api marak begitu cepat kerana angin kuat. Menurut ahli keluarga api bermula dari sebuah bilik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Laili menambah, walaupun bersedih dia dan keluarganya reda dengan kejadian itu.
“Kami sekeluarga masih belum memikirkan perancangan untuk menyambut Hari Raya nanti. Apa yang penting ialah semua ahli keluarga selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Khairi Zainuddin berkata, bomba menerima panggilan kira-kira pukul 12.57 tengah hari tadi.
Katanya, sebanyak 11 anggota bersama tiga buah jentera dari BBP Kulai, Skudai dan Bandar Baru Kulai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal. Kebakaran terbabit juga telah memusnahkan 50 peratus daripada keseluruhan rumah.
“Sebuah kereta Jenis Proton Savvy juga turut terbakar. Pihak bomba mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran ekoran jarak pili bomba yang jauh. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE










