IPOH 27 Mei – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan ke atas beberapa pihak termasuk pengurusan masjid dan surau serta penganjur program didakwa berbaur politik yang dijalankan di tempat ibadah itu.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, tindakan membenarkan aktiviti politik termasuk ceramah diadakan di lokasi tersebut jelas melanggar Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013.
Justeru itu katanya, siasatan akan dilakukan terhadap pengerusi dan ahli jawatan kuasa (AJK) masjid serta surau selain individu yang menyampaikan ceramah tanpa tauliah itu.
“Sudah berkali-kali saya ingatkan pengurusan masjid dan surau di negeri ini untuk tidak menganjurkan ceramah tanpa mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah.
“Tindakan ini adalah melanggar peraturan dan kertas siasatan telah pun dibuka ke atas semua pihak yang terlibat dalam isu tersebut,” katanya di sini hari ini.

Semalam Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya JAIPk menyiasat tiga program yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah di masjid dan surau di negeri ini.
Lokasi ceramah yang dikenal pasti ialah di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei dan Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei lalu.
Turut dikesan satu program atas nama parti politik yang dilangsungkan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE










