MUNICH 27 Mei – Lothar Matthaus yakin bintang Manchetser City, Leroy Sane akan menyertai Bayern Munich pada musim cuti ini.
Sane, 23, dikaitkan dengan gergasi Bundesliga itu selepas tiga musim di City selepas dia merangkul dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Matthaus berkeyakinan Sane akan menamatkan kontraknya di City dan bakal menyertai Allianz Arena.
“Pada pandangan saya, ada seorang pemain yang mampu menghiburkan peminat Bayern tahun hadapan, Sane. Saya yakin dia akan ke Munich.
“Jika presiden Bayern, Uli Hoeness mahu mendapatkan pemain baharu sudah pasti dia akan menjadi keutamaan.
“Dia antara pemain sayap terbaik dan sangat berbahaya di hadapan pintu gol selain memiliki gerakan pantas.
“Bayern sedang mencari pengganti kepada Arjen Robben dan Franck Ribery, jadi sekurang-kurangnya ada seorang pemain sayap baharu akan ke Allianz Arena,” kata legenda Jerman itu.
Bayern yang menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman musim ini sedang dalam proses membina semula pasukan selepas berjaya mendapatkan khidmat Lucas Hernandez dan Benjamin Pavard.-AGENSI











