Imbauan wawancara: Kerajaan bagaimana pilihan Dr. M? (Bahagian 2) - Utusan Malaysia

Imbauan wawancara: Kerajaan bagaimana pilihan Dr. M? (Bahagian 2)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHBAR Mingguan Malaysia pada 27 Jun 1982 telah menyiarkan temubual bersama Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Keempat. Ikuti bahagian kedua imbauan wawancara tersebut:

Samada ada anda suka atau tidak, Perlembagaan Malaysia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi walaupun ia bertentangan dengan keinginan ahli-ahli British dalam jawatankuasa perlembagaan. Bagaimanapun walaupun ia lebih merupakan istiadat dari peraturan, namun begitu aspirasi dan semangat kemasyarakatan Melayu tetap Islam 100 peratus. 

Dr. Mahathir sendiri ada menyatakan bahawa Islam adalah satu agama yang terperinci dan munasabah. Jadi di manakah beliau bercadang untuk menempatkan Islam dalam rangka kerja dasarnya?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jawabnya di mana-mana. Sebagai satu cara hidup, Islam jelasnya akan mempengaruhi secara praktikal tiap-tiap satu pegangan yang diambil kira. Persoalan yang lebih penting yang perlu diberi perhatian ialah sama ada apa yang kami lakukan itu bersesuaian atau tidak dengan Islam.”

Walaupun mempunyai “pengaruh” atau bertindak “bersesuaian” dengan Islam tidak semestinya menjadikan Islam sebagai faktor penentuan dalam dasar negara, tetapi pandangan Dr. Mahathir mencerminkan satu kenyataan dalam konteks Malaysia. Perlu pertimbangan

Bagaimanapun di sini timbul pula masalah penilaian dan penerimaan dan juga soal keperluan dan keazaman politik. Jika difikir dalam-dalam, kita mungkin mendapati bahawa sesetengah dari pandangan itu tidak “bersesuaian” tetapi pandangan asas itu nampaknya mencerminkan persaudaraan Islam dan keikhlasan emosi.

Meneruskan perbualan berhubung dengan tempat Islam dalam rangka kerja dasar Dr. Mahathir, Perdana Menteri berkata:

“Kami perlu mempertimbangkan masyarakat dalam mana kami menetap sekarang. Islam bukanlah satu agama yang buta yang memaksa setiap ajarannya dipatuhi tanpa mengira alam sekitar di mana kami tinggal. Islam adalah satu agama yang amat pragmatik. Walaupun agama kami melarang kami memakan daging babi, tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu, jika tiada pilihan lain lagi, kami boleh berbuat demikian.”

Untuk menyelamatkan diri daripada maut?

“Ya, untuk menyelamatkan diri daripada maut,” kata Dr. Mahathir. “Kami mesti berdiri tegak menghadap kiblat semasa mengerjakan sembahyang, tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu terutamanya bagi seseorang yang uzur dan tidak berdaya, kami boleh bersembahyang mengikut cara yang terdaya. Jadi anda boleh melihat bagaimana pragmatiknya agama Islam.”

Ya, memang ada undang-undang yang memaksa dan undang-undang yang membuat kelonggaran kepada yang tidak berdaya. Bagaimanapun sebuah masyarakat normal mestilah terus hidup normal?

Dr. Mahathir: “Dalam sebuah masyarakat normal, kami perlu mempertimbangkan kesan-kesan dari penguatkuasaan undang-undang Islam yang tertentu ke atas sebuah masyarakat yang bukan Islam. Jika kami cuba mengisytiharkan undang-undang Islam ke atas orang-orang bukan Islam, maka ini sudah pasti menimbulkan ketidakpuasan dan menjadikan Islam sebagai satu agama yang dibenci.

“Idea kami sekarang adalah untuk memastikan agar para penduduk memahami bahawa Islam adalah satu agama yang munasabah dan boleh diterima.

“Bagaimana dapat kami lakukannya kalau tidak dengan cara menunjukkan kepada para penduduk bahawa Islam tidak memaksa? Satu lagi cara ialah memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri kebaikan-kebaikan dalam Islam.

“Untuk melakukannya, kami perlu mempelajari berbagai tafsiran dalam undang-undang Islam dalam usaha melaksanakan yang bersesuaian sahaja dengan masyarakat kita. Malah masa yang dipilih untuk pelaksanaannya juga perlu dikaji dengan teliti. Jika tidak ia mungkin kembali kepada keadaan asal dan mungkin menyebabkan sesetengah golongan menentang Islam. Malah ada juga dalam kalangan orang-orang Islam sendiri yang menganggap Islam terlalu menindas. Kami perlulah berhati-hati dalam perkara ini.”

Dalam lain perkataan tugas itu bermaksud menyedia dan melaksanakan dalam proses persediaan. Bolehkah tugas itu dihuraikan pengertiannya dalam cara begini?

Dr. Mahathir: “Ya, kerana tugas melaksanakan undang-undang Islam bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan sekali langkah sahaja. Malah Nabi Muhammad SAW telah mengambil masa selama 23 tahun untuk melaksanakannya sepenuhnya.

Lagipun keadaan dalam dunia Islam tidak mengizinkan pelaksanaan undang-undang Islam secara tegas tanpa menimbulkan kesan-kesan buruk. Itulah sebabnya kenapa kita menghadapi berbagai masalah sekarang. Namun begitu, paksaan tidak pernah dan tidak akan menjadi satu amalan di Malaysia. Kami akan meyakinkan para penduduk bahawa kami tidak memaksa mereka.”

Sesungguhnya Islam bukanlah satu tekanan dan soal paksaan ke atas orang-orang bukan Islam tidak timbul sama sekali. Tetapi buat orang-orang Islam, mereka adalah dikehendaki mengamalkan disiplin Islam mereka sendiri. Apakah pandangan Dr. tentang perkara ini?.

Dr. Mahathir: “Soal utama ialah tentang persediaan. Malah ada dalam kalangan orang-orang Islam sendiri yang mempunyai tafsiran berbeza-beza tentang agama mereka. Jika anda cuba mengenakan tafsiran anda ke atas seseorang yang mempunyai tafsiran yang berlainan dari anda, maka keputusannya tentulah negatif. Saya akan meyakinkan orang-orang Islam tentang kebaikan-kebaikan Islam dan tentang kesetiaan kepada ajaran-ajarannya. Dengan jalan ini, mereka tentu akan menerimanya tanpa sebarang paksaan.”

Ada desas-desus tentang sebuah bank Islam yang bebas dari faedah di Malaysia. Berapa lama lagi bank itu akan ditubuhkan? Dan apakah bank berkenaan akan mengamalkan prinsip bebas dari faedah ke atas orang ramai dan sektor-sektor ekonomi yang lain?.

Kepada bahagian pertama dalam soalan ini, Dr. Mahathir menjawab bahawa mereka sedang “berunding sedalam-dalamnya tentang perkara itu” kerana “kami mahu memastikan cubaan pertama kami ini menghasilkan kejayaan. Soal ini adalah satu soal yang kompleks dan kami tidak mahu usaha kami ini menemui kegagalan. Jika tidak orang ramai mungkin akan hilang kepercayaan kepada prinsip itu sendiri. Itulah sebabnya kenapa kami bertindak dengan berhati-hati dalam soal ini.”

Bagaimanapun ia nampaknya tidak realistik dan terlalu awal untuk menjangkakan sebarang pembaharuan Islam yang besar dalam ekonomi Malaysia. Dr. Mahathir berkata “jika boleh”, sistem bebas dari faedah “dapat diperluaskan” meliputi bidang-bidang lain, tetapi beliau tidak nampak “sebarang sebab kenapa sistem itu tidak boleh berfungsi sejajar dengan sistem lain.”

Satu masalah asas timbul di sini. Bagi Dr. Mahathir, “soal apa yang dikatakan faedah dan apa yang tidak telah tidak dibincangkan dan diselesaikan dengan sepenuhnya dalam dunia Islam.”

“Ada yang menyatakan bahawa bayaran faedah sebanyak tiga peratus diizinkan manakala yang lainnya berkata empat peratus. Ada yang berkata ajaran-ajaran Quran hanya menegah pengambilan untuk sebanyak dua atau tiga kali ganda, iaitu mengenakan bayaran faedah sebanyak 100 hingga 200 peratus.”

Dr. Mahathir Mohamad melawat kem latihan kemahiran Kobena di Skudai,
Dr. Mahathir Mohamad melawat kem latihan kemahiran Kobena di Skudai, Johor pada Mac 1982. – ARKIB UTUSAN

Walaupun soal apa yang dikatakan riba dan tegahan-tegahan nya yang menyeluruh mungkin tidak menimbulkan masalah atau keraguan dalam jiwa orang-orang umum di Malaysia atau di mana-mana, tetapi hakikatnya ialah ramai di kalangan bijak pandai dalam dunia Islam yang tidak mengambil berat terhadap hukum yang bersumberkan Quran yang menyebut bahawa menerima faedah bolehlah disamakan seperti “peperangan menentang Allah dan Rasul-Nya” atau dengan pendapat bahawa memberi zakat akan memurahkan rezeki manakala menerima faedah akan membawa kemerosotan ekonomi.

Dr. Mahathir juga tidak dapat mengenepikan kenyataan bahawa dunia Islam “kini hidup dengan riba”. Daripada usaha menunjukkan satu contoh tauladan dalam pelaksanaan undang-undang kewangan dan ekonomi menurut Islam, kesemua negara-negara kaya dalam dunia Islam lebih berminat dalam melibatkan diri dalam lapangan peminjaman wang dan mengenakan faedah.

Jika dibandingkan, faedah yang diperoleh daripada pelaburan dalam dunia Islam dan Dunia Ketiga adalah kecil. Pihak yang lebih beruntung dari kekayaan dan pelaburan di sana ialah negara-negara maju dan masyarakat pengusaha bank di seluruh dunia. Ada dua masalah di sini, ketiadaan rasa keyakinan terhadap apa yang dikehendaki oleh Quran dan Sunah dan ketiadaan satu tauladan bagi meyakinkan mereka yang lemah.

Hari ini merupakan sambungan hari-hari semalam, bagaimana pula dengan hari esok?

Keraguan tidak lagi timbul dalam fenomena para pelajar dan belia-belia Islam di seluruh dunia yang sedang cuba mempereratkan pertalian mereka dengan Islam dan berusaha melaksanakan identiti mereka yang baru ditemui semula itu.

Ada dalam kalangan bijak pandai Islam yang berasa bingung dan kadangkala berdukacita tentang kenapa ramai dalam kalangan anak-anak muda menolak corak kehidupan yang disediakan untuk mereka oleh tadika-tadika, sekolah-sekolah dan universiti-universiti yang berbentuk seperti St. George atau St. Patrick di dalam atau di luar negeri.

Seperti dalam dunia Islam, ada golongan di Barat yang memandang secara negatif terhadap soal kembalinya idealisme dalam kalangan anak-anak muda. Bagi mereka, ia adalah “fundamentalisme”, fanatisme dan sebagainya.

Kita sendiri telah melihatkan bagaimana dunia mencapai kemajuan selepas kemunculan Islam. Saya kira kebangkitan Islam yang ada sekarang, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda, merupakan pelita yang menyuluh kehidupan mereka di masa depan.

Memang ada kelompok-kelompok yang keterlaluan dalam masyarakat kita dan kelompok-kelompok ini tidak dapat dihapuskan. Bagaimanapun apa yang penting sekali ialah kesedaran keagamaan, iaitu kesedaran yang mempengaruhi seseorang itu supaya mempercayai kepada sesuatu. Buat diri kami, kami telah berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Apa yang lebih penting ialah memberi interpretasi Islam yang betul kepada belia-belia Islam ini.”

Bagaimanapun, satu persoalan penting timbul di sini, iaitu sama ada belia-belia hari ini harus menyiapkan diri dan menunggu giliran mereka dalam kehidupan dengan penuh kesabaran atau memberontak terhadap keadaan yang bertentangan dan cuba merebut kuasa walaupun dalam proses ini mereka mungkin menghancurkan warisan mereka sendiri?

Dr. Mahathir bersetuju: “Generasi tua mestilah ingat zaman remaja mereka dahulu dan juga idealisme mereka sendiri. Mereka mestilah menghargai idealisme yang memberangsangkan lagi daya imaginasi anak-anak muda.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah kita tidak boleh bersikap dogmatisme terhadap perkara itu. Anda haruslah bertindak selaras dengan keadaan di sekeliling anda dan bukannya mengikut perkembangan yang berlaku di tempat lain.

Tetapi saya rasa tak ada jalan keluar untuk kami melarikan diri daripada kenyataannya bahawa mereka (golongan belia) akan mewarisi kami. Saya tidak boleh berkata saya akan terus berkuasa untuk selama-lamanya. Merekalah yang tidak mengikut jejak kami dan mengambil alih tempat kami walaupun ia bertentangan dengan kehendak kami.”

Tetapi bagaimanakah caranya untuk membantu belia-belia ini menyiapkan diri menghadapi masa depan?

“Apa yang sedang kami lakukan di negara ini ialah untuk menjalinkan hubungan yang erat dengan belia-belia ini. Kami telah pun menemui kejayaan dalam menjalinkan hubungan itu dengan sesetengah gabungan dari mereka tetapi yang lainnya tidak.” – Mingguan Malaysia 27 Jun 1982

 

 

  • Wawancara penuh dapat diperoleh dengan melanggani e-paper Utusan Malaysia menerusi www.digital.utusan.com.my atau muat turun aplikasi di Google Play atau App Store
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini