MONACO 23 Mei – Juara Formula Satu (F1) dunia, Lewis Hamilton yang gagal mengawal emosi meminta izin untuk tidak menghadiri sidang akhbar menjelang Grand Prix Monaco semalam kerana terlalu bersedih dengan kematian legenda F1, Niki Lauda.
Juara dunia lima kali dari Britain itu tiba di Monaco dalam persiapan menghadapi perlumbaan hujung minggu ini, dan dia memohon kepada pasukan Mercedes untuk dikecualikan daripada sebarang sesi bertemu media kerana emosinya masih tidak stabil.
Hamilton, 34, dikatakan terlalu sedih ketika menerima berita kematian Lauda, 70, Isnin lalu kerana mempunyai hubungan rapat dengan Pengerusi Bukan Eksekutif Mercedes itu.
“Kami terpaksa memohon kepada pihak FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) untuk mengecualikan Lewis daripada sidang akhbar dan mereka bersetuju,” kata jurucakap Mercedes.
Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas mengambil alih tempatnya dalam sidang akhbar berkenaan.
“Niki memainkan peranan besar dalam keluarga Mercedes. Dia memberi motivasi kepada saya dan setiap pelumba kami, dia mengajar kami erti tidak berputus asa.
“Berita kematiannya membawa suasana suram dalam pasukan tetapi saya percaya, kami boleh memberi penghormatan kepada Niki dengan melakar keputusan terbaik dalam perlumbaan, terutama pada hujung minggu ini,” kata Bottas.
Hamilton sebelum ini meluahkan kesedihannya dalam media sosial dengan menulis: “Sahabat, saya sukar menerima hakikat anda telah pergi.
“Saya merindui perbualan kita, gelak tawa kita dan pelukan kita setiap kali kita memenangi perlumbaan.
“Saya amat bertuah kerana diberi penghormatan bekerja dengan kamu sepanjang tujuh tahun ini. Saya mungkin tidak berada dalam pasukan ini jika bukan kerana kamu”.
Lauda, juara dunia 1975, 1977 dan 1984 meninggal dunia, Isnin lalu iaitu lapan bulan selepas menjalani pemindahan paru-paru. – AGENSI











