KUALA LUMPUR 22 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan pihaknya ada menerima aduan berhubung kerosakan bumbung sehingga menyebabkan litar pintas sebagaimana didakwa oleh peniaga Bazar Jalan Masjid India yang terlibat dalam kebakaran awal pagi semalam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tiada sebarang aduan bertulis yang dihantar kepada pihaknya untuk diambil tindakan lanjut.
“Saya nak tanya, mereka adukan perkara tersebut kepada siapa? Siapa individu yang dimaksudkan oleh peniaga. Kalau tiada aduan bertulis ,bagaimana kami mahu ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan peniaga bahawa sebelum Ramadan lalu mereka ada memohon DBKL membaiki bumbung yang berlubang bagi elak litar pintas ketika hujan tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Bagaimanapun katanya, masalah tersebut akan diberi perhatian bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa akan datang.
Ditanya mengenai keengganan peniaga untuk berpindah di tapak sementara, Nor Hisham memberitahu, ia hanyalah cadangan daripada pihak berkuasa tempatan dan belum dimuktamadkan.
“Saya tidak kata wajib untuk mereka berpindah dan kalau tidak bersetuju, perbincangan boleh diadakan namun yang menjadi masalah apabila mereka berkeras untuk berniaga di situ.
“Kami tidak membenarkan peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di tapak asal kerana faktor keselamatan,” katanya.











