KUALA LUMPUR 22 Mei – Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dilantik sebagai Duta Keamanan Sejagat oleh Santuari Keamanan Sejagat Mahasiddha dari Nepal.
Lam Thye menerima `kata’ (selendang) putih yang melambangkan pelantikannya sebagai duta daripada Pengasas dan Pengerusi Santuari Keamanan Sejagat Mahasiddha, Shyalpa Tenzin Rinpoche dalam satu majlis makan tengahari yang diadakan sempena sambutan Hari Wesak pada Sabtu lalu.
Menurut Lam Thye, beliau berasa amat bangga menerima pengiktirafan tersebut daripada pemimpin agama Buddha yang dihormati itu.
“Masanya telah tiba untuk semua pihak sama-sama meneruskan usaha meningkatkan keamanan dan keharmonian di seluruh dunia.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bekerjasama demi keamanan dan keharmonian dan menahan diri daripada melakukan tindakan provokasi serta keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan huru-hara.
“Demi keamanan dunia, kita memerlukan lebih ramai pendukung keamanan dan bukannya pencetus peperangan ,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE











