LONDON 22 Mei – Pengurus Arsenal, Unai Emery menyifatkan keputusan pemain tengah Armenia, Henrikh Mkhitaryan untuk tidak beraksi dalam final Liga Europa menentang Chelsea di Baku sebagai isu peribadi berikutan ia mempunyai kaitan dengan keselamatannya.
Mkhitaryan bimbang dengan tahap keselamatannya selepas berlaku ketegangan politik di antara Armenia dan negara penganjur kejohanan, Azerbaijan.
“Ini berita sedih namun kami tidak boleh melakukan apa-apa terhada isu tersebut.
“Saya sudah bercakap dengan Mkhitaryan pagi tadi. Itu merupakan keputusan peribadi. Dia mahu bermain dan membantu kami, namun mereka memberitahu, keluarganya tidak membenarkannya untuk pergi…saya tidak boleh memaksa dia untuk menyertai pasukan,” kata Emery.
Dalam pada itu, Arsenal berkata semua pilihan telah diterokai bagi menjamin keselamatan pemain tersebut.
“Kami sudah meniliti semua pilihan yang ada untuk memastikan Micki berada dalam skuad namun selepas berbincang mengenai perkara ini bersama Micki dan keluarganya, kami membuat keputusan secara kolektif bahawa dia tidak akan menyertai pasukan,” kata Arsenal.
Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Azerbaijan (AFFA) menegaskan tahap keselamatan pemain sentiasa menjadi keutamaan dan menyifatkan keputusan itu sebagai tidak wajar.
“Kami berasa amat kesal dengan keputusan tidak wajar tersebut, kami faham, keputusan secara kolektif oleh Arsenal, pemain dan keluarganya.
“Kami tahu itu merupakan keputusan peribadi untuk tidak menyertainya bagaimanapun kami ingin menegaskan bahawa negara tuan rumah, Azerbaijan telah memberi jaminan yang diperlukan oleh UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah) untuk memastikan keselamatan Mkhitaryan,” kata AFFA. – AFP











