KUALA LUMPUR 22 Mei – Polis menahan seorang lelaki di Pangsapuri Sri Raya, Ukay Perdana, Ampang dekat sini semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes bunuh membabitkan seorang pengurus acara pada 12 Mei lalu.
Dalam tangkapan kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, permohonan reman akan dilakukan terhadap suspek berusia 25 tahun itu selama tujuh hari bermula hari ini.
“Reman telah dipohon di Mahkamah Majistret Ampang pagi ini.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, seorang pengurus acara ditemukan maut di rumahnya di Residensi Bestaria, Jalan Ukay Perdana, Dataran Ukay Perdana, Ampang dekat sini.
Mangsa berusia 33 tahun ditemukan maut terlentang dengan terdapat kesan tikaman pada bahagian dada dan perutnya.-UTUSAN ONLINE











