ALOR SETAR, 19 Mei – Keupayaan Kedah bangkit selepas ketinggalan pada separuh masa pertama melegakan ketua jurulatihnya Aidil Sharin Sahak dalam aksi Liga Super menentang Melaka United di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Kedah kembali menemui sentuhan kemenangan apabila memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan menundukkan Melaka 2-1
Aidil Sharin berkata, kemenangan dalam aksi menentang Melaka itu adalah penting bagi meniup semula semangat dan moral pasukan sebelum bertemu JDT pada aksi penghujung bulan ini.
“Syukur kami dapat keputusan seperti yang diinginkan selepas pemain cepat belajar dan bangkit memperbaiki kesilapan pada separuh masa kedua.
“Ia hasil kesungguhan semua pemain selepas jaringan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menaikkan semula semangat pasukan selepas kalah dengan Selangor sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata dua kesilapan dilakukan pemain pasukan itu menyebabkan pemain skuad Lang Merah berpeluang menjaringkan gol sekali gus meranapkan impian mereka membawa pulang tiga mata dari Alor Setar.
Kata Zainal, keputusan itu sedikit mengecewakan memandangkan Melaka terlebih dahulu mendahului jaringan dan berharap pemain tidak melakukan kesilapan sama ketika bertemu Perak nanti.
“Walaupun tiga pemain tidak dapat diturunkan, pemain masih menunjukkan permainan yang baik cuma dengan kesilapan itu kami tewas dan ia tak patut berlaku tambahan lagi bermain di tempat lawan,” katanya. – BERNAMA











