PUCHONG – Tindakan licik sebuah premis yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral kepada pelanggan akhirnya kecundang selepas ia berjaya dibongkar sekaligus diserbu oleh pihak berkuasa dalam Ops Noda di Bandar Puchong Jaya, di sini, malam tadi.
Serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada pukul 11 malam itu dibuat selepas mendapati premis berkenaan yang berselindung di sebalik pusat urutan refleksologi menawarkan perkhidmatan urutan badan ke badan (B2B) serta urutan berahi kepada pelanggan.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, seramai lima wanita warganegara China yang berperanan sebagai tukang urut telah ditahan dalam serbuan tersebut.
“Kesemua wanita yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan kami turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang disyaki berperanan sebagai penjaga premis.
“Siasatan mendapati premis ini telah beroperasi sejak sebulan yang lalu tanpa sebarang lesen sah dan menawarkan perkhidmatan dengan kadar bayaran RM70 bagi satu sesi,” katanya.
Menurut Azmi, pihaknya turut merampas beberapa barangan seperti tuala, minyak urut, tisu basah serta wang tunai berjumlah RM631.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kesemua tangkapan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” jelas beliau. – K! ONLINE











