SONGKHLA 16 Mei – Pihak keselamatan Thailand berjaya menumpaskan dua jaringan pengedaran dadah di selatan negara ini dan merampas dadah berjumlah 200 juta baht (RM26 juta).
Selain itu, seramai 10 individu termasuk seorang wanita turut ditahan dalam beberapa serbuan sejak minggu lepas di Phatthalung dan Narathiwat.
Ketua Polis Bahagian Ke-9, Leftenan Jeneral Polis Ronnasin Phusara berkata, polis berjaya menumpaskan jaringan pengedaran dadah di Phatthalung dan merampas kira-kira 3.58 juta biji pil kuda.
Beliau berkata polis menahan lapan individu, termasuk seorang remaja yang memiliki 236,000 biji pil kuda pada 14 Mei lalu.
Ronnasin berkata polis dan Tentera Narathiwat turut menahan dua individu, termasuk seorang wanita dipercayai mendalangi jaringan pengedaran dadah di wilayah itu di sebuah rumah di Sungai Golok pada 11 Mei lalu.
“Polis menemui dadah jenis heroin seberat 7.9 kilogram yang bernilai hampir 14 juta baht (RM1.8 juta) di sebuah rumah itu. Rangkaian ini adalah rangkaian pengedar dadah rentas sempadan yang mana pembeli adalah warga Malaysia,” katanya.
Polis juga merampas dua buah kereta dan empat buah motosikal yang berjumlah 720,000 baht (RM95 juta). – BERNAMA











