[VIDEO] Gaduh: Polis tahan 9 lelaki - Utusan Malaysia

[VIDEO] Gaduh: Polis tahan 9 lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 16 Mei – Polis menahan sembilan lelaki kerana dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di Medan Selera Jalan Trus di sini pada Isnin sehingga video pergaduhan tersebut menjadi tular.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, enam lelaki berusia antara 30 hingga 35 tahun ditahan pada hari kejadian manakala tiga lelaki berusia 34 hingga 48 tahun pula ditahan pada 1 pagi ini.

“Ketidakpuasan hati berkaitan kerja pengubahsuaian gerai dipercayai menjadi punca pergaduhan dua kumpulan lelaki yang berlaku pada 13 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebuah video berdurasi satu minit 35 saat memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh dan membuat bising di Medan Selera Jalan Trus mula tersebar sejak semalam.

Shahurinain berkata, dalam kejadian pada 12 tengah malam itu, berlaku perselisihan faham dan pergaduhan di medan selera tersebut dan polis berjaya menahan enam lelaki masing-masing terdiri daripada tiga peniaga dan tiga kontraktor.

Ekoran penahanan itu, katanya, sekumpulan 10 lelaki datang ke medan selera itu pada 1.30 pagi dan membuat kecoh serta bertindak merosakkan kerusi dan meja selain membuat bising kerana tidak berpuas hati rakan mereka ditahan polis.

“Hasil siasatan, polis berjaya menahan tiga lagi lelaki di Pasar Borong Pandan di sini pada 1 pagi ini dan semua mereka mengaku terlibat dalam kejadian itu seperti video yang tersebar,” katanya semua suspek ditahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14A Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Polis dalam usaha mengesan beberapa lagi rakan mereka yang terlibat dalam kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Mohammad Royza Alif Zahuri di talian 019-4782697,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini