KUALA LUMPUR 16 Mei – Aplikasi mudah alih Islam yang komprehensif, Muslim Pro muncul sebagai aplikasi mudah alih nombor satu negara pada awal Ramadan, mengatasi gergasi teknologi global seperti Facebook, Whatsapp dan Instagram.
Muslim Pro Malaysia dalam kenyataannya berkata, aplikasi tersebut dimuat turun lebih 70 juta kali di lebih 200 negara.
Menurut syarikat itu, penggunaan aplikasi itu meningkat pada bulan puasa berikutan ramai pengguna log masuk untuk mengetahui masa Sahur dan Iftar, membaca Quran dan menggunakan ciri-ciri keagamaan lain.
“Peningkatan ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengurus Negara Muslim Pro Malaysia, Nik Emir Din berkata, aplikasi itu masih menyaksikan pertumbuhan yang menggalakkan dari segi jumlah muat turun pada setiap hari dan berharap untuk mencatat jumlah tertinggi baharu pada akhir Ramadan.
“Banyak persediaan telah dibuat menjelang bulan Ramadan untuk mengukuhkan ciri-ciri aplikasi dan meningkatkan tahap libat urus.
“Ini termasuk pelancaran bahagian kandungan baharu yang menampilkan artikel dan video berkaitan gaya hidup Islam untuk melengkapi ciri-ciri teras kami iaitu waktu solat, Quran dan arah kiblat,” katanya.
Muslim Pro boleh dimuat turun di App Store Apple dan Google Play Store. – UTUSAN ONLINE











