Cadangan wujudkan seorang pegawai pemerintah di sempadan - Utusan Malaysia

Cadangan wujudkan seorang pegawai pemerintah di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 15 Mei – Seorang saksi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara kubur di Wang Kelian, Perlis mencadangkan seorang pegawai pemerintah diwujudkan bagi semua agensi penguatkuasa di sempadan.

Langkah itu bagi mengelak pertindihan dan percanggahan arahan operasi penguatkuasaan di sempadan negara membabitkan pelbagai agensi keselamatan seperti polis, imigresen dan kastam.

Cadangan itu dikemukakan oleh Komander Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis, Deputi Superintenden, Syed Basri Syed Ali semasa prosiding di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau yang merupakan saksi ke-32 RCI mengambil contoh Thailand di mana arahan operasi penguatkuasaan di sempadan selepas pilihan raya negara itu, dikeluarkan oleh tentera dan diikuti oleh pelbagai agensi lain sekali gus mengelak pertindihan dan percanggahan arahan.

“Kordinasi di sempadan mesti satu command (arahan) sahaja. Kita di sempadan tak ada satu (pegawai) yang bagi arahan, agensi berbeza arahan berbeza, sukar,” katanya dalam prosiding di hadapan tujuh ahli RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria di sini hari ini.

Syed Basri yang sebelum itu Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sebelum ditukar kepada Aksem memberitahu, sebelum ini terdapat ketidakseragaman arahan penguatkuasaan di sempadan sehingga memudahkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mengenai kem di Wang Kelian, beliau memberitahu mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan dalam satu mesyuarat pada Januari 2015, namun tidak terlibat dalam sebarang operasi.

Sementara itu, bekas Pengarah Kastam Perlis, Datuk Mohd. Pudzi Man memberitahu, pihaknya mengalami kesukaran untuk mendapat maklumat daripada penduduk mengenai kemasukan PATI di negeri itu.

Jelasnya, jika adapun maklumat yang diterima samar-samar menyukarkan operasi penguatkuasaan anti penyeludupan dan pemerdagangan manusia dijalankan.

“Bila tahu kes skala besar memang mengejutkan, tak sangka sama sekali, biasa kes tangkapan PATI kecil-kecil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini