RASAH 15 Mei – Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Unit Inspektorat dan Perundangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dua kes rasuah bernilai RM1,800 kira-kira dua tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Khas Reman Seremban, V. Vanita selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim bagi siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, lelaki berusia 31 tahun itu yang diwakili peguam, Ardelliza Shafie tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Dia disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400 daripada wakil sebuah restoran nasi kandar di sini sebagai balasan untuk mengurangkan kadar kompaun yang dikenakan terhadap dua pekerja premis itu pada Disember 2017.
Kedua-dua pekerja restoran itu didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana tidak mematuhi peraturan berhubung pakaian pengendali makanan.
Suspek turut disyaki meminta dan menerima rasuah RM1,400 daripada pemilik sebuah lagi restoran di sini sebagai balasan untuk menyelesaikan kes mahkamah membabitkan pemilik restoran itu dan pekerjanya pada Disember 2017.
Pamilik restoran itu dan pekerjanya sebelum itu gagal membayar kompaun bagi kesalahan di bawah Seksyen 11(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu gagal menyediakan rekod latihan pengendali makanan semasa pemeriksaan dan seksyen 32(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Suspek telah ditahan oleh SPRM di PKD Seremban pada pukul 2.24 petang semalam. – UTUSAN ONLINE











