TUSB Unimap terima geran penyelidikan RM500,000 - Utusan Malaysia

TUSB Unimap terima geran penyelidikan RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 14 Mei – Technopreneur Sdn. Bhd. (TUSB), sebuah anak syarikat Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang berperanan untuk menggerakkan usaha pengkomersialan produk universiti itu, hari ini menerima geran penyelidikan industri berjumlah RM500,000.

Geran penyelidikan untuk tempoh setahun itu disumbangkan oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Pens Industries Sdn. Bhd. (Pens Industries).

Menurut Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, geran tersebut adalah bagi tujuan penyelidikan dalam tiga disiplin iaitu teknologi dron, bahan terbaharu dan analisis bahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita yakin dengan adanya geran ini, Unimap dapat memperkasakan aktiviti penyelidikan berasaskan industri bagi memastikan hasilnya mampu memberi manfaat kepada bidang itu dan komuniti.

“Unimap seterusnya berharap penyelidikan ini nanti mampu memberi impak kepada bidang kuari yang merupakan teras utama perniagaan Pens Industries,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan ringkas dengan pihak Pens Industries yang diketuai oleh Pengurus Besarnya, Ridzuan Ishak di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi TUSB, Prof. Datuk Dr. Salleh Din serta barisan penyelidik Unimap antaranya Prof. Dr. Hazry Desa, Prof. Madya Dr. Nik Noriman Zulkepli dan Muhammad Azizi Azizan.

Tambah Zul Azhar lagi, menerusi penyelidikan ketiga-tiga disiplin itu juga membolehkan Unimap mempelbagaikan kepakaran, khususnya teknologi masa depan seperti dron dan bahan terbaharu.

Beliau memberitahu, kerjasama antara Unimap dan Pens Industries telah terjalin sejak sekian lama terutama alam aspek penggunaan makmal untuk ujikaji dan penyelidikan serta latihan sangkutan pelajar.

“Namun, ini merupakan kali pertama pihak Pens Industries memberikan geran penyelidikan bagi membolehkan kerjasama ini diperluaskan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ridzuan berkata, pemberian geran penyelidikan ini diharap dapat menjana kewangan baharu buat syarikat yang ketika ini bergantung penuh kepada industri kuari.

“Dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika ini, Pens Industries perlu mencari sumber baharu untuk dikomersialkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini