PUTRAJAYA 13 Mei – Pasar Ramadan Putrajaya bukan sahaja terkenal dengan jualan juadah berbuka termasuk kuih-muih dan lauk-pauk, tetapi juga menampilkan pelbagai jenis air minuman yang tidak kurang hebatnya berbanding tempat lain.
Antara mencuri tumpuan Gerai Air Nanas DJeram yang menjual air jus nanas jenis MD2 kerana dikatakan sesuai menyejukkan badan ketika berbuka puasa.
Menurut Pengurus Gerai Air Nanas DJeram, Hadzwan Hisham, sejak dibuka pada 1 Ramadan lalu, jualan jus nanas menerima sambutan hangat dalam kalangan pengunjung khususnya penjawat awam yang singgah membeli juadah berbuka puasa.
Katanya, sambutan itu menyebabkan jualan jus nanasnya berjaya habis dijual sebelum waktu berbuka puasa sehingga orang ramai terpaksa datang awal semata-mata membeli air tersebut.
“Pada hari bekerja, kami jual jus segar yang dikisar daripada 60 biji nanas manakala ketika hujung minggu pula adalah 96 biji. Alhamdulillah kesemuanya habis dijual sebelum pukul 7 petang.
“Rata-rata pelanggan amat berpuas hati dengan jus ini kerana bukan sahaja murah tetapi berkhasiat untuk tubuh badan, malah kami tidak menambah gula dan sebarang pewarna ke dalam jus kerana ia adalah 100 peratus daripada nanas dikisar,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE











