KUALA LUMPUR 13 Mei – Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Rahman Mohd Hashim sebagai pengerusi.
Pelantikan tersebut tertakluk kepada pengesahan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menurut kenyataan hari ini.
Abdul Rahman memulakan kerjaya pada 1983 sebagai pegawai undang-undang di Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebelum menyertai firma guaman terkemuka di sini sebagai peguam dan kemudian membuka syarikat guamannya sendiri pada September 1988 sehingga hari ini.
Beliau kini merupakan rakan kongsi utama bagi Messrs. Rahman Hashim (amp) Solicitors.
Abdul Rahman berkelulusan ijazah undang-undang dari University of Westminster London dan diterima masuk ke English Bar bagi Honourable Society of Lincoln’s Inn London pada 1983.
Beliau adalah anggota Majlis Peguam Malaysia sejak 1984.
Pada April 2019, MaGIC mengalu-alukan Dzuleira Abu Bakar sebagai ketua pegawai eksekutif yang baharu. – BERNAMA











