Empat ditahan terlibat aktiviti keganasan - Utusan Malaysia

Empat ditahan terlibat aktiviti keganasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mei – Sebanyak empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat kumpulan pengganas antara 5 hingga 7 Mei lalu.

Difahamkan, mereka yang ditahan ialah dua lelaki keturunan Rohingya dan masing-masing seorang lelaki warga tempatan dan Indonesia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di Terengganu dan Lembah Klang, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tangkapan pertama dilakukan pada 5 Mei di Kuala Berang, Terengganu melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sel Daesh di negara ini.

“Suspek juga dalang utama yang merancang untuk melakukan pembunuhan terhadap individu-individu berprofil tinggi, serangan ke rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan di sekitar Lembah Klang pada minggu pertama Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Abdul Hamid, tangkapan suspek pertama itu berjaya merampas sepucuk pistol, 16 butir peluru dan enam batang bahan letupan diubah suai (IED).

Jelas beliau, tangkapan kedua dilakukan pada 7 Mei di Jalan Klang Lama, di sini melibatkan lelaki keturunan Rohingya yang juga merancang untuk melancarkan serangan terhadap Kedutaan Myanmar di sini dan berjihad di Rakhine.

“Tangkapan ketiga dilakukan pada hari sama di Subang Jaya, dekat sini melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 49 tahun yang merancang untuk berjihad di Syria.

“Seorang lagi lelaki Rohingya yang berusia 25 tahun juga ditahan pada 7 Mei di Jalan Klang Lama, di sini dan mengaku terlibat pengganas Daesh,” ujar beliau.

Tambah Abdul Hamid, kesemua yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA-Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta747). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini