BRIGHTON 13 Mei – Vincent Kompany menyifatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini adalah paling sukar selepas skuad kendalian Pep Guardiola itu terpaksa berdepan cabaran Liverpool hingga ke aksi terakhir.
City meraih kemenangan 4-1 ke atas Brighton dalam aksi terakhir liga menerusi jaringan Sergio Aguero, Aymeric Laporte, Riyad Mahrez dan Ilkay Gundogan tetapi ketinggalan terlebih dahulu seawal minit ke-27 menerusi jaringan Glenn Murray.
Kemenangan ke-14 berturut-turut dalam saingan liga itu membolehkan skuad kendalian Guardiola mengatasi The Reds yang memasang impian menamatkan kemarau kejuaraan 29 tahun dengan kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton dengan kelebihan satu mata.
“Kejayaan berturut-turut, saya fikir ini adalah paling sukar, Liga Perdana paling sukar.
“Liverpool sangat cemerlang musim ini. Mereka tidak berhak untuk kalah.
“Saya gembira untuk beraksi dengan pasukan-pasukan hebat sepanjang musim. Kami terpaksa pertahankan kedudukan kami sepanjang musim ini dan hari ini kami berjaya kekal di hadapan,” kata Kompany.
Ketika ditanya sama ada dia tahu keputusan di Anfield, Kompany berkata: “Sejujurnya saya tidak tahu.
“Kami dengar penyokong Brighton menyanyi ‘1-0 kepada Liverpool’ pada ketika kami melepaskan jaringan pertama.
“Kami berjaya mencipta peluang, mencari ruang dan memanfaatkan segala yang ada. Kami sudah lakukan segalanya dalam perlawanan hari ini,” katanya.-AFP











