LONDON 12 Mei – Drama Liga Perdana Inggeris berakhir jua hari ini apabila Manchester City muncul pasukan pertama dalam tempoh 10 tahun berjaya mempertahankan kejuaraan selepas menumpaskan Brighton 4-1 dalam perlawanan terakhir yang berlangsung di Stadium Amex, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola meranapkan impian Liverpool yang berhasrat menamatkan kemarau kejuaraan 29 tahun dengan perbezaan satu mata.
Dalam aksi terakhir itu, The Citizens ketinggalan pada minit ke-27 selepas Brighton membuka jaringan menerusi Glenn Murray.
Bagaimanapun, Sergio Aguero segera menyamakan kedudukan seminit kemudian sebelum City berpesta gol dengan tiga lagi jaringan menerusi Aymeric Laporte, Riyad Mahrez dan Ilkay Gundogan.
Kejayaan itu menyaksikan Pep Guardiola menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas Manchester United melakukannya semasa di bawah kendalian Sir Alex Ferguson pada 1992 dan 1993.
Meskipun mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton menerusi jaringan Sadio Mane, namun ia tidak mencukupi buat skuad kendalian Klopp menamatkan kemarau kejuaraan mereka.-AGENSI











