KUALA LUMPUR 10 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan tiada mana-mana pemimpin di negara ini bebas daripada kritikan.
Perdana Menteri berkata, rakyat bebas mengkritik pemimpin-pemimpin di negara ini jika perlu.
“Kebebasan bersuara adalah penting di dalam sesebuah demokrasi kecuali ugutan, fitnah atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah.
“Mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara,” katanya dalam status dalam akaun Twitter miliknya, hari ini.
Dalam status sama, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau kesal mengenai tangkapan pihak berkuasa terhadap seorang penggiat media sosial malam tadi.
“Saya merasa kesal dengan tindakan menangkap penggiat media sosial tersebut,” katanya.
Sementara itu, pereka grafik, Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin memberitahu, Ketua Pengarang Neon Berapi, Abdillah Hamzah telah ditahan di Balai Polis Tampoi, Johor, semalam.
Menurut Mohd. Fahmi Reza, Kerajaan PH sepatutnya tidak mengikut perangai buruk kerajaan lama suka menggunakan undang-undang untuk menyekat pengguna media sosial.
“Selepas setahun berkuasa, kerajaan baharu sepatutnya jangan ikut perangai buruk rejim lama yang suka gunakan undang-undang untuk sekat pengguna media sosial, dan suka tahan orang sebab ‘sakitkan hati’ orang lain dalam Twitter.
“Kemungkinan besar ditahan bawah #AktaSakitHati sebab satu tweet pasal anak raja,” katanya dalam status Facebook miliknya hari ini.
Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan Mohd. Fahmi Reza daripada dakwaan memuat naik gambar menyerupai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akaun Instagram miliknya bertujuan menyakiti hati orang lain, dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











