KUALA LUMPUR 10 Mei – Rakyat dinasihatkan supaya berhati-hati dengan ejen provokatif, penghasut dan batu api yang sangat gelisah serta terdesak akibat kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (14) lalu.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dalam kenyataan berkata, perubahan yang dituntut rakyat adalah mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul dan ia menjadi agenda utama Kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta PKR.
Kata beliau yang juga Ketua Penerangan PKR, PH dipercayai mampu membawa negara ini kembali dihormati dan digeruni oleh negara-negara lain di dunia jika rakyat berganding bahu memberi komitmen membangunkan negara.
“Saya sesungguhnya telah beriltizam untuk menggalas amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh Perdana Menteri dengan segala daya dan kecekalan untuk memenuhi harapan menggunung rakyat.
“Menyedari tanggungjawab saya sebagai Timbalan Menteri, kami di Kementerian Industri Utama sedang berusaha keras melakukan yang terbaik memastikan industri komoditi negara khususnya kelapa sawit sentiasa berada pada tahap yang positif, di samping memerangi usaha-usaha jijik kempen anti sawit dari negara-negara di Eropah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











