SHAH ALAM -Gangguan bekalan air membabitkan kira-kira 160,000 akaun atau hampir 800,000 pengguna di Klang dijangka pulih sepenuhnya Ahad ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan pada pagi ini mendapati sebahagian besar 65 kawasan yang terjejas telah pulih.
“Kami mendapati bekalan air membabitkan 69 peratus daripada kawasan itu sudah pulih bermula sejak Rabu.
“Pihak kami sedang berusaha untuk memulihkan baki 31 peratus kawasan selewat-lewatnya pada hari Ahad,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, bantuan lori-lori tangki akan diteruskan di kawasan-kawasan yang belum pulih dengan empat pusat khidmat setempat iaitu Bandar Sultan Suleiman, Bandar Parkland, Taman Sri Andalas dan Batu Belah masih beroperasi sehingga kini.
Abdul Raof menjelaskan, kerja-kerja pembaikan paip utama telah berjaya disiapkan pukul 6 petang, Selasa lalu selepas dilaporkan pecah pada 4 Mei lalu.
Ujarnya, namun berlaku kebocoran pada jajaran paip utama berkenaan seterusnya menyebabkan penutupan semula bekalan di sistem utama terpaksa dilakukan.
“Selain itu, berlaku beberapa insiden pergerakan tanah sepanjang tempoh kerja pembaikan yang turut menyumbang kepada kelewatan kerja.
“Tindakan alternatif dilaksanakan bagi penyaluran bekalan air melalui sistem agihan yang lain dari sumber air terawat yang sama iaitu dari Kolam Lam Bee ke Kolam Lipat Kajang dan Kolam Bukit Rajah Industri.
“Kita menjangkakan gangguan bekalan air pulih secara berperingkat keseluruhannya pukul 3 petang ini namun sasaran itu tidak tercapai,” katanya.
Jelas beliau, Air Selangor memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami kepada semua pelanggan yang terjejas. – K! ONLINE











