KUALA LUMPUR 9 Mei – Sebanyak 400 keluarga Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Pantai yang berdaftar melalui program The Lost Food Project (TLFP) menerima agihan lebihan stok makanan dan barangan dapur daripada pasar raya.
Program anjuran TLFP dan Mubadala Petroleum dengan kerjasama Parlimen Lembah Pantai itu diadakan di Pantai Eco Park, Pantai Dalam di sini, semalam.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, program yang julung kali diadakan pada bulan Ramadan itu menggunakan barangan dari pasar raya yang tidak sesuai dijual dan dikumpulkan oleh sukarelawan untuk diagihkan kepada penduduk PPR.
“Makanan seperti sayur-sayuran, minuman coklat dan barangan keperluan yang berjenama seperti sabun basuh dan pewangi pakaian merupakan sebahagian daripada barang yang diagihkan.
“Setakat hari ini, sukarelawan TLFP telah menyelamatkan lebih 906,244 kilogram lebihan makanan dan diedarkan kepada kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) khususnya,” katanya selepas sesi bertemu penerima agihan berkenaan.
Ahmad Fahmi berkata, projek berkenaan merupakan satu usaha yang baik dan berharap lebih banyak syarikat korporat akan turut menyertainya.
Katanya, sebanyak 100 pek makanan sehari disediakan oleh Mubadala Petroleum yang dimasak daripada lebihan stok makanan untuk diagihkan ke kawasan PPR di sekitar Lembah Pantai sepanjang bulan Ramadan.
”Kami mencuba sendiri makanan yang disediakan daripada lebihan stok tersebut dan terbukti ia masih selamat bahkan boleh menjadi makanan yang sihat dan bernutrisi,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan makanan kepada penduduk PPR dan kelompok B40 sekitar Lembah Pantai pada setiap Jumaat.
Sementara itu, Ahmad Fahmi turut bercadang untuk menawarkan penjualan ikan pada harga kos dari bot ke kawasan PPR bagi membantu golongan B40 mendapatkan ikan pada harga lebih murah. – UTUSAN ONLINE











