Perak ikat dua penyerang Brazil - Utusan Malaysia

Perak ikat dua penyerang Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 9 Mei – Perak yang dibelenggu masalah ketumpulan jentera serangan musim ini, mengikat dua penyerang import baharu dari Brazil hari ini.

Mereka ialah Ronaldo Henrique Silva, 28, yang beraksi dengan kelab Esporte di negaranya dan kelab Liga-J, Yokomaha FC.

Seorang lagi, Raianderson Da Costa Morais, 23, beraksi bersama kelab Brazil, Atletico Acreano.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa sama, Perak menggugurkan pemain import, Gilmar manakala Wander Luiz pula terpaksa menarik diri daripada pasukan disebabkan masalah kesihatan yang dialami anaknya di Brazil.

Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berharap kedua-dua pemain baharu itu dapat mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan pasukannya.

Beliau berkata, dua pemain itu diharap dapat memenuhi harapan yang diletakkan untuk Perak memperbaiki pencapaian di tempat kelapan Liga Super ketika ini dengan 14 mata daripada 12 perlawanan dan lapan kali seri.

Katanya, sebagai pemain penyerang dan tengah, dia berharap dua pemain baharu itu dapat meledak lebih banyak gol untuk pasukan.

“Mereka sudah menyertai dua sesi latihan bersama Perak dan saya berpuas hati dengan apa yang saya lihat.

“Saya berharap kedua-dua pemain ini dapat beraksi dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP di Stadium Perak pada Sabtu ini.

“Untuk itu kami akan cuba dapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) secepat yang mungkin,” katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan kedua-dua pemain berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sementara itu, Ahmad Faizal menafikan laporan bahawa import kelahiran Australia, Zac Anderson digugurkan ekoran kemasukan Ronaldo dan Raianderson. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini