PULAU PINANG 9 Mei – Mereka yang masih tercari-cari lokasi berbuka puasa dalam suasana eksklusif tetapi pada harga mampu milik tidak wajar melepaskan peluang menikmati pakej berbuka puasa yang ditawarkan Hotel Mercure, Tanjung Tokong di sini.
Bertemakan Selera Ramadan, pakej berbuka puasa secara bufet itu menawarkan lebih 150 pilihan menu makanan pada harga cukup berpatutan iaitu bersih RM75 bagi dewasa serta RM35 bagi kanak-kanak.
Lebih menarik, pakej berbuka puasa itu kini juga ditawarkan pada harga promosi atau ‘early bird’ menerusi pembelian kira-kira 1,000 baucar pada harga bersih RM60 bagi dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak yang dijual di lobi hotel berkenaan.
Menurut Cef Eksekutif hotel itu, Nor Ismail Mat Isa, 52, tarikan utama pakej berbuka puasa di hotel itu adalah pilihan lebih lapan menu masakan Melayu bagi hidangan utama antaranya ‘kupang goreng ala-Thai’ dan ‘ikan keli goreng berlado’.
Selain itu, katanya, turut disediakan adalah sudut barbeku yang mana menu ditawarkan adalah pelbagai dan berubah-ubah setiap hari sekali gus memberikan kelainan kepada pelanggan.
Bagi penggemar masakan ala-Barat pula, tambah beliau, pelbagai menu turut ditawarkan seperti piza dan salad manakala hidangan sampingan seperti acar rampai, rojak dan asam laksa adalah antara menu yang tidak wajar dilepaskan.
Tambah Nor Ismail yang mempunyai pengalaman sebagai cef selama kira-kira 33 tahun, menu istimewa lain yang turut disediakan adalah nasi beriyani dan nasi kandar serta pelbagai jenis kuih-muih dan pemanis mulut.
“Semua menu ini dimasak menggunakan rempah ratus yang disediakan sendiri oleh kumpulan cef kami seramai 16 orang dalam memastikan keunikan dan keistimewaan rasanya yang mana pastinya berbeza dengan bufet Ramadan yang ditawarkan di tempat lain,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Nor Ismail, bufet berbuka puasa yang ditawarkan di Restoran The Ombak di lobi hotel berkenaan akan bermula esok hingga 1 Jun ini bermula pukul 7 malam hingga 10.30 malam.
Tambahnya, umat Islam juga tidak perlu bimbang untuk menunaikan solat maghrib ketika berbuka puasa memandangkan ruang solat yang luas dan selesa turut disediakan di tingkat satu hotel berkenaan.
“Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej berbuka puasa yang ditawarkan atau mahu membuat tempahan boleh menghubungi Hotel Mercure di talian 04-3718705 atau 018-4609772,” katanya. – UTUSAN ONLINE











