KOTA KINABALU 8 Mei – Polis menerima 11 laporan dan membuka lima kertas siasatan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan setakat ini sejak kempen bermula 27 April lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, dua siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan masing-masing satu di bawah di bawah Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Namun secara keseluruhannya perjalanan proses PRK Parlimen Sandakan lancar dan pihak polis dapat mengawal keadaan dengan baik.
“Saya harap keadaan ini berterusan dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini terjadi sehingga PRK berkenaan selesai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Omar, lebih 1,000 anggota telah ditugaskan untuk memastikan proses PRK berjalan lancar sehingga hari mengundi Sabtu ini.
PRK Sandakan diadakan selepas penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.-BERNAMA











