LONDON – Pemain tengah Tottenham Hotspur, Moussa Sissoko yakin pasukan itu memiliki kualiti menjelang aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax di Johan Cruyff Arena awal pagi esok.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu ketinggalan satu gol secara agregat apabila tewas 0-1 pada perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur minggu lalu.
Memandangkan tempat Spurs dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan hampir terjamin menerusi kedudukan liga, Sissoko menggesa rakan sepasukan agar memberikan fokus 100 peratus terhadap aksi menentang Ajax.
“Kami tidak beraksi dalam perlawanan seperti ini setiap minggu. Walaupun beraksi di tempat lawan tetapi saya percaya kami tetap memiliki peluang untuk menang dan semua pemain perlu percaya pada kemampuan masing-masing.
“Saya fikir aksi menentang Ajax adalah perlawanan yang paling penting untuk kami musim ini. Kami perlu positif dan jangan terlalu fikirkan mengenai pasukan lawan kerana Spurs juga memiliki ramai pemain berkualiti,” kata Sissoko.
Pada masa sama, dia juga menegaskan Ajax tidak mungkin mengamalkan corak bertahan pada perlawanan tersebut memandangkan mereka mahu menyerang habis-habisan bagi memastikan tempat di perlawanan akhir.
“Saya tahu Ajax merupakan sebuah pasukan yang gemar bermain secara terbuka. Saya tidak fikir mereka hanya bertahan kerana satu-satunya cara untuk membuatkan mereka selesa adalah dengan menjaringkan gol,” ujarnya. – Agensi











