SAN LUIS POTOSI, Mexico 6 Mei – Harapan Diego Maradona untuk memenangi gelaran sulungnya selaku jurulatih berkecai, hari ini, selepas skuad bimbingannya, Dorados de Sinaloa tewas pada perlawanan akhir divisyen dua Liga Mexico dan turut terlepas peluang dinaikkan ke liga utama.
Kelab pesaing, Atletico San Luis meledakkan gol tunggal perlawanan sewaktu masa tambahan dalam aksi timbal balik kedua menerusi Unai Bilbao yang menyaksikan mereka merangkul gelaran dan turut dinaikkan ke divisyen satu.
Pasukan itu juga buat kali kedua mengecewakan Maradona yang terpaksa pulang dengan tangan kosong dalam dua perlawanan akhir berturut-turut.
“Saya nyaris mati…tetapi tidak mengapa. Saya sedih dengan apa yang terpaksa dilalui para pemain saya,” kata Maradona selepas perlawanan.
Legenda Argentina itu dan skuad bimbingannya berdepan tugas sukar dalam perlawanan timbal balik kedua, setelah mereka diikat dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi pertama di laman sendiri di Culiacan.
Mereka berjaya menyekat Atletico daripada menjaringkan gol sepanjang 90 minit permainan dalam perlawanan yang berlangsung di San Luis Potosi. Namun, pertahanan Sepanyol, Bilbao menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-103, selepas penjaga gol Dorados, Gaspar Servio gagal menyelamatkan bola hasil sepakan percuma. – AFP











