Siapkan pasukan lebih awal - Utusan Malaysia

Siapkan pasukan lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mac – Saingan Liga Malaysia (Liga M) yang tetap rancak berlangsung pada bulan puasa seharusnya tidak dijadikan alasan kepada pemain untuk gagal memberikan aksi terbaik.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan berkata, setiap jurulatih perlu mempersiapkan pasukan lebih awal bagi memastikan semua pemain bersedia beraksi pada perlawanan yang diadakan pukul 10 malam pada Ramadan ini.

“Sepatutnya tidak ada alasan untuk pemain beraksi pada bulan puasa dan saya percaya mereka juga sudah biasa kerana ini bukan kali pertama perlawanan berlangsung dalam bulan puasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau tidak ada perlawanan pada bulan puasa, pasukan akan tetap mengadakan latihan. Takkan kita hanya mahu berlatih selama sebulan tanpa perlawanan dan apa akan jadi kepada jadual liga bila sebulan tertangguh.

“Mungkin orang akan kritik saya bila berkata begini kerana saya bukan seorang muslim, tapi saya sudah 29 tahun dalam bidang ini dan cukup memahami situasi pemain ketika di bulan puasa.

“Apa yang saya lakukan untuk pemain Selangor, saya akan memulakan latihan jam 11 malam bermula Rabu ini, selain, menyediakan pemakanan seperti susu dan kurma selepas berlatih kepada pemain.

“Saya tidak boleh memulakan latihan lebih awal memandangkan ada pemain mahu solat tarawih jadi saya faham. Apa yang penting pemain perlu berdisplin menjaga pemakanan dan tidur yang cukup,” kata Sathianathan yang juga pengendali Selangor.

Pentadbir Liga M, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meneruskan perlawanan ke-13, 14 dan 15 Liga Super dan Liga Perdana serta aksi kedua suku akhir Piala FA sepanjang Ramadan ini.

Sathianathan memberitahu, keputusan MFL untuk meneruskan saingan liga pada bulan puasa juga bakal membantu skuad Harimau Malaya yang bakal beraksi pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 7 dan 11 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kalau kita lihat liga dan kejohanan tetap diadakan di negara Arab, malah pemain beragama Islam ramai beraksi di Eropah di mana saingan kini hampir ke kemuncak.

“Bagi saya perlawanan yang berlangsung dalam bulan puasa kali ini juga bakal membantu pemain kebangsaan yang bakal berlatih pada penghujung Ramadan sebelum beraksi pada hari raya. Jika mereka tidak beraksi pada bulan puasa, sukar untuk mereka mendapatkan momentum,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini