Undian belanjawan esok tangguh? - Utusan Malaysia

Undian belanjawan esok tangguh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kekurangan ahli Parlimen di pihak kerajaan ekoran isu kuarantin Covid-19, selain ketidaksepakatan ahli Parlimen UMNO dan sesi penggulungan oleh beberapa kementerian yang belum selesai, dilihat bakal memaksa proses undian Belanjawan 2021 yang dijadualkan Khamis ini ditunda.

Setakat ini, hanya Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sahaja yang sudah menggulung perbahasan.

Selain itu, kematian ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman pada 16 November lalu dan langkah ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak mengambil bahagian dalam sesi perbahasan turut menjejaskan sokongan kepada belanjawan tersebut.

Antara ahli Parlimen yang dikatakan perlu menjalani kuarantin adalah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Semalam, Dewan Rakyat ‘kecoh’ sebentar apabila Jeffery didakwa tidak menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan hadir dalam persidangan Dewan Rakyat.

Beliau dikatakan pulang ke Sabah untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 November lalu.

Antara yang bangun membangkitkan perkara itu kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Bagaimanapun, Bung Moktar ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau akan kembali ke Semenanjung hari ini dan tidak perlu menjalani kuarantin 14 hari setelah kerajaan menetapkan bahawa mulai hari ini, individu yang datang dari Sabah tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Kerusi Ahli Parlimen blok kerajaan di Dewan Rakyat kini hanya tinggal 112 berikutan kematian Hasbullah manakala blok pembangkang sebanyak 107 juga kurang satu kerusi ekoran kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong.

Pada Selasa ini, blok kerajaan akan menjadi 109 kerusi jika Tengku Razaleigh mengambil sikap berkecuali manakala Bung Moktar dan Jeffrey perlu menjalani kuarantin.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia dimaklumkan oleh satu sumber politik bahawa proses undian belah bahagian Belanjawan 2021 pada Khamis ini akan ditunda ke hari Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan dijangka membuat penetapan itu dalam persidangan pada Khamis ini atas alasan masih banyak kementerian yang belum membuat penggulungan.

Dalam perkembangan sama, anggota pentadbiran kerajaan daripada BN yakin ahli-ahli Parlimen BN akan menyokong Belanjawan 2021 demi membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Menerusi satu kenyataan media semalam, mereka juga akan bertemu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi lebih kerap bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar BN untuk disampaikan kepada Kabinet.

BN mempunyai 11 menteri dan 9 timbalan menteri dalam Kabinet. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×