Penyerang Kelantan tumpul - Utusan Malaysia

Penyerang Kelantan tumpul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 5 Mei – Ketumpulan jentera serangan menjadi punca Kelantan gagal meneruskan rentak kemenangan apabila sekadar seri tanpa dengan Sarawak pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Pengendali pasukan, Yusri Che Lah mengakui sedikit kecewa apabila barisan pemainnya kelihatan seolah-olah ‘takut’ untuk melakukan percubaan pada perlawanan itu.

Menurutnya, meskipun seri namun dia tetap menganggap Kelantan gagal kerana mereka amat-amat memerlukan tiga mata untuk mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Perdana.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sungguhpun begitu (kecewa) namun saya terima keputusan itu dengan hati terbuka dan harus diingat perjalanan masih lagi jauh.

“Ini kali pertama Kelantan mengekalkan rekod tanpa bolos, satu perkara yang positif. Walaupun kita agak lalai seketika pada babak kedua sehingga membenarkan Sarawak mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan,” katanya.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan ketandusan gol apabila peluang yang terhidang gagal terjemahkan dalam bentuk jaringan.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan yang kekal di zon penyingkiran selepas mengharungi 11 perlawanan.

Sebaliknya, ia menambah tekanan buat Yusri untuk mencari ramuan terbaik menyelamatkan Kelantan daripada terjerumus ke saingan M3 musim depan.

Yusri memberitahu, dia berharap barisan pemain Kelantan akan kembali bangkit dalam aksi berikutnya selepas ini.

Katanya, Kelantan perlu segera keluar dari zon penyingkiran kerana jika gagal berbuat demikian ia akan memberikan impak besar buat pasukan.- UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini