Ahlan wa sahlan Ramadan al-mubarak. Esok umat Islam di negara ini akan mula berpuasa sempena ketibaan Ramadan yang diberkati. Dalam konteks hukum, puasa pada bulan Ramadan adalah wajib ke atas setiap mukallaf tidak kira lelaki mahupun wanita.
Bagaimanapun terdapat kelonggaran khususnya terhadap golongan wanita sekiranya mereka didatangi uzur syarie seperti keluar darah haid atau nifas (bagi wanita bersalin).
Begitu juga terhadap mereka yang bermusafir, orang sakit serta orang tua yang terlalu lemah untuk melakukan ibadat tersebut.
Sungguhpun begitu mereka yang terpaksa meninggalkan puasa disebabkan adanya rukhsah (kelonggaran) wajib menggantikannya pada bila-bila masa (kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa) sebelum tiba Ramadan pada tahun seterusnya.
Selain qada puasa terdapat juga mereka yang wajib membayar fidyah.
Sesungguhnya puasa adalah ibadat yang sangat dituntut dan merupakan salah satu ibadat yang membentuk rukun Islam.
Dari segi syarak, puasa itu adalah menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkannya bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Tujuannya dikerjakan adalah untuk menjadikan seseorang itu bertakwa.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Berdasarkan tafsir Ibnu Kathir melalui puasa, ketakwaan mampu dicapai kerana puasa dapat menyucikan badan serta menyempitkan jalan syaitan.
Apa yang dimaksudkan dengan takwa? Menurut Sayidina Ali RA: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”
Berkaitan dengan takwa juga, ibadat puasa akan menjadi rosak dan sia-sia jika seseorang itu tidak bersolat. Tanpa solat, ibadat puasa yang dikerjakan seharian langsung tidak memberi manfaat. Tanpa solat, ibadat puasa tidak akan diterima oleh Allah. Apa yang mereka peroleh hanya lapar, dahaga dan letih. Perkara itu perlu dititikberatkan kerana terdapat segelintir umat Islam yang berpuasa hanya dari segi adat dan bukannya ibadat.
Mereka berpuasa tetapi tidak bersolat. Mereka berpuasa tetapi gagal menjaga anggota badan daripada terus melakukan maksiat. Lebih malang lagi apabila menyangka puasa itu adalah hari menikmati pelbagai juadah yang lazat ketika berbuka sehingga mengabaikan solat maghrib. Alangkah rugi jika berlaku yang sedemikian.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam (bangun malam) itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam.”
Justeru, marilah kita jadikan Ramadan kali ini, Ramadan paling terbaik. Ramadan yang diisi dengan pelbagai ibadat daripada membaca al-Quran sehinggalah amalan solat tahajjud. Mungkin juga Ramadan kali ini adalah Ramadan terakhir. Kita tidak mengetahuinya kerana semuanya itu ada dalam rahsia Allah. Wallahuaklam.











